Friday, October 14, 2011

Kucing Keguguran Bulu

Keguguran Bulu

Mengikut kajian sains, kucing akan mengalami keguguran bulu setahun sekali dan ada juga akan mengalaminya sebanyak dua kali setahun. Ini adalah proses mengantikan bulu yang lama kepada bulu yang baru. Proses keguguran bulu ini adalah normal kerana ia disusuli dengan pertumbuhan bulu yang baru. Selain itu kucing anda akan megalami masalah keguguran bulu yang kerap kerana banyak sebab-sebab lain, diantaranya yang ketara dan umum ialah disebabkan :-
  1. Makanan yang diberi tidak sesuai untuk bulu kucing.
  2. Alahan - kucing mungkin alah pada makanannya atau agen-agen alahan yang lain seperti plastik contohnya.
  3. Kekurangan zat nutrisi.
  4. Tekanan(Stress).
  5. Terlebih vitamin.
  6. Suhu di persekitaran tempat tinggal kucing anda - suhu yang terlalu panas boleh menyebabkan keguguran bulu.
  7. Kutu/Parasit.
  8. Masalah Hormon.
  9. Syampu yang tidak sesuai
  10. Masalah Fungus.
TIPS KATA-KATA
Selalulah beriadah dan bersosial bersama kucing dan selalulah membelainya, kerana dengan membelai kucing anda ia merupakan satu terapi kepada anda dan kucing anda. Ini boleh menghilangkan rasa stress kucing anda dan secara lansung dapat mengurangkan masalah keguguran bulu kucing anda.

Sunday, May 15, 2011

Kucing Sukar/Susah Hendak Bernafas




Sukar Hendak Bernafas
Sebut tentang bernafas, bagi teman setiap semua benda yang hidup dan bernyawa itu bernafas. Bagi kucing, ia memerlukan oksigen yang cukup untuk mengekalkan kesemua fungsi badan berada dalam keaadan sempurna dan memastikan ianya bernyawa. Bernafas bagi seekor kucing adalah salah satu fungsi normal badan yang dilakukan tanpa berfikir mengenainya. Segala proses pernafasan dikawal secara terus(automatik) oleh otak dan sistem sarafnya. Kucing sukar bernafas kerana beberapa perkara :-
  1. Terlalu Aktif(overexercised) dan Terlalu Ghairah Bermain(overexerted) - Kucing anda akan nampak seperti termengah-mengah atau tercungap-cungap selepas berlari atau bermain. Jika ini berlaku ianya tidaklah perlu dirisaukan kerana perkara ini adalah normal bagi kebanyakkan kucing yang terlalu ghairah(excited) bermain.  
  2. Alahan - Banyak kucing mengalami alahan dengan ramuan atau bahan yang ada didalam makanannya. Kucing juga mudah mengalami alahan terhadap debu dan habuk yang ada didalam udara. Hindarkan kucing anda dari persekitaran yang berhabuk dan pastikan bahan-bahan(ingredients) didalam makanannya tidak memberi kesan alahan pada kucing anda.
  3. Asma Kucing - Faktor utama kucing anda mengalami asma adalah kerana alahan, namun begitu penyakit ini juga boleh terjadi disebabkan faktor lain. Asap rokok juga boleh menyebabkan kucing anda mengalami asma. (Bagi peminat kucing yang meghisap rokok, pastikan anda menjauhi kucing anda sewaktu sedang merokok kerana bahaya asap rokok kepada kucing adalah sama bahaya kepada manusia). Secara mudah untuk mengelakkan kucing anda terkena asma: pastikan kucing anda sentiasa mendapat udara yang bersih. Membeli penapis udara adalah pelaburan yang baik untuk kucing dan diri anda sendiri.
  4. Jangkitan di Sistem Pernafasan Atas(Upper Respiratory Infection) - Ini berlaku disebabkan beberapa perkara, salah satunya adalah disebabkan  pelbagai kuman dan pelbagai virus. Perkara ini akan teman jelaskan didalam tajuk Penyakit-Penyakit Kucing.
  5. Parasit - Kadang-kadang parasit seperti Cacing Jantung dalam bahasa inggeris disebut Heartworm dan bahasa saintifiknya Dirofilaria Immitis boleh menimbulkan masalah bernafas kepada kucing anda.


Nota : Kekerapan bersin dan batuk juga boleh menyebabkan kucing anda sukar bernafas. Bagi pendapat teman, sekiranya kucing anda mengalami masalah susah bernafas selain dari perkara (1 -Terlalu Aktif) silalah bawa ke veterinar dengan segera untuk memastikan masalah dan punca sebenar mengapa kucing anda sukar bernafas.

Sunday, May 8, 2011

Kucing Demam





Demam
Kucing akan mengalami demam apabila tindakbalas atau reaksi tubuhnya kepada sesuatu jangkitan atau penyakit yang menyerangnya ini juga di kenali sebagai 'pyrexia'. Suhu normal tubuh badan kucing adalah 100 - 102.5°F (37.7 - 39.1°C). Untuk menyukat/mengambil suhu badan kucing mungkin sukar kepada yang kurang mahir. Namun begitu kucing demam akan menunjukkan beberapa tanda seperti berikut :
  1. Keletihan. - kucing anda tidak aktif seperti selalu dan tidak memperdulikan permainan kegemarannya.
  2. Hilang selera makan. - kucing anda tidak mahu makan dan minum.
  3. Bernafas dengan laju secara konstan. - bernafas seperti seolah-olah sesak nafas.
  4. Menggigil. -  suhu badan yang tinggi menyebabkan kucing anda tidak selesa dan boleh menyebabkan mengigil.
  5. Menunjukkan rasa sakit apabila dipegang/disentuh walaupun dipegang sentuh secara lembut.
  6. Menunjukkan sikap tiada respon atau tidak hirau akan perkara yang selalu mengambil perhatiannya. Sebagai contohnya, selalunya ia amat menggemari 'catnip' tetapi tidak apabila dia demam.
Apabila suhu badan kucing anda meningkat 102.5°F (39.1°C), anda perlulah sentiasa memerhatikan kucing anda dengan kerap memeriksa suhu badan kucing anda. Sentiasa menyediakan minuman yang sejuk untuk mengelakkan kucing anda dari dehidrasi. Turunkan suhu di kamar/bilik kucing anda dengan memasang fan atau aircond. Jangan sekali-kali memandikan kucing anda sewaktu kucing sedang demam kerana ini lebih memburukkan keaadan.



Sekiranya suhu kucing anda meningkat sehingga 105°F(40.5°C) segeralah bawa kucing anda ke vet yang terdekat. Kucing demam disebabkan beberapa perkara antaranya yang kerap :-
  • Jangkitan kuman
  • Barah 
  • Dehidrasi
  • Sedang menerima rawatan keseimbangan hormon
  • Cirit-birit
  • Kebanyakan penyakit merbahaya kucing seperti FIP, FELV dan sebagainya.



Nota: Setiap kali selepas kucing anda dimandikan, suhu badan kucing anda akan meningkat dan bagi kucing yang tidak kuat antibodi badannya akan menyebabkan kucing anda demam. Elakkan sama-sekali kucing anda dari terkena "Heat Stroke" dimana seluruh organ dalaman seperti jantung, paru-paru, hati, buah pinggang dan otak berhenti bekerja disebabkan suhu badan yang terlalu tinggi. Topik Heat Stroke ini akan dijelaskan di entri akan datang!!

TAJUK-TAJUK BERKAITAN

Friday, May 6, 2011

Kucing Cirit-Birit



Cirit - Birit
Kucing mengalami cirit-birit disebabkan banyak perkara. Cirit birit berlaku ke atas kucing dewasa, kucing tua, anak kucing, kucing jantan dan kucing betina. Di sini ingin teman ingatkan cirit-birit bukanlah sejenis penyakit tetapi cirit-birit adalah tanda atau simptom terhadap penyakit tertentu. Dalam banyak penyebab cirit-birit, ingin teman nyatakan di sini 5 sebab utama kenapa kucing cirit birit :-
  1. Terlebih makan - Mengikut pengalaman teman, kebanyakkan kes cirit-birit yang berlaku ke atas kucing dewasa dan anak kucing adalah disebabkan terlebih makan. Makanan yang dimakan tidak dapat dihadam dengan sempurna yang menyebabkan cirit-birit.
  2. Produk yang berasaskan susu - Tidak teman nafikan bahawa banyak kucing sukakan rasa susu lembu. Tapi hakikatnya makanan yang berasaskan susu tidak sesuai untuk sistem penghadaman kucing. Sistem penghadaman kucing tidak dapat memproses gula(laktosa) yang terdapat dalam susu lembu.
  3. Makanan yang tidak sesuai - Contohnya ada sesetengah kucing yang tidak sesuai makan makanan laut seperti ikan, sotong dan udang. Kadangkala menukar jenis makanan secara mendadak pun membuatkan sistem penghadaman kucing anda terkejut dengan perubahan yang berlaku. Keracunan - Makanan yang diberi telah rosak ataupun sudah terdedah terlalu lama.
  4. Cacing - Kucing dilahirkan dengan semulajadi terdapat cacing parasit di dalam perutnya. Kucing dewasa yang dibiarkan merayau diluar rumah juga terdedah pada masalah ini. Teman nasihatkan kepada peminat dan pecinta kucing untuk dapat ubat cacing anda sekurang-kurangnya 6 bulan sekali dan adalah lebih baik kiranya diberi setiap bulan.
Sama seperti manusia, cirit-birit yang tidak berhenti dan berterusan akan mendatangkan masalah dan kemudaratan pada kucing anda malahan ia akan meletihkan tuan kucing dan membuat anda kecewa. Bau najis yang busuk dan kuat baunya, amatlah memikat sang lalat untuk berkunjung. Secara tak langsung rumah anda akan dipenuhi sang lalat. Manakala masalah dan kemudaratan pada kucing anda,  antaranya:-
  • Darah di dalam najis yang cecair - merbahaya jika berterusan dan perlu dibawa ke vet/klinik dengan segera.
  • Demam
  • Dehidrasi
  • Kelesuan
  • Muntah
  • Hilang Selera Makan
Sekiranya kucing anda mengalami cirit-birit melebihi 24jam, segeralah bawa ke vet/klinik dengan segera.

NOTA : Menukarkan makanan/diet kucing anda secara mendadak juga boleh mengakibatkan cirit-birit kepada kucing anda. Ini adalah jadual penukaran makanan yang teman amalkan. Minggu pertama 1/4 makanan baru dicampur dengan makanan yg lama, minggu kedua 2/4, mgu ketiga 3/4 dan seterusnya. Penukaran makanan perlu secara perlahan adalah kerana untuk memastikan perut kucing anda serasi dengan makanan baru.

TIPS KATA-KATA
Sentiasalah beri kucing anda makanan yang terbaik dan air yang tidak berklorin supaya kucing anda mempunyai kesihatan yang baik dan dapat menikmati kehidupan dengan lebih panjang. 

TAJUK-TAJUK BERKAITAN
KESIHATAN KUCING SECARA UMUM
SELERA MAKAN KUCING

Thursday, May 5, 2011

Kucing Muntah




Muntah 
Bagi pendapat teman kucing muntah adalah merbahaya kepada diri kucing itu sendiri. Muntah yang kerap dan berterusan sangat bahaya kepada kucing anda kerana ini boleh membawa maut. Kucing akan muntah untuk mengeluarkan apa jua benda yang tersekat di tekaknya. Jika ini berlaku pada kucing anda tidaklah perlu dirisaukan melainkan benda atau objek atau gumpalan bulu yang tersangkut itu tidak dapat dikeluarkan. Segeralah ke klinik sekiranya ini berlaku. 




Selain dari memuntahkan gumpalan bulu(hairball) selalunya kucing anda akan muntah disebabkan apa yang dimakan oleh kucing anda. Di sini teman kategorikan kucing akan muntah disebabkan 9 perkara:
  1. Gumpalan bulu. (Hairball) 
  2. Makan terlalu cepat/gopoh.
  3. Makan benda yang tidak boleh dihadam.
  4. Kerapkali menukar diet/jenis makannannya.
  5. Alergic makanan atau bahan-bahan di dalam makanan.
  6. Infeksi/ Jangkitan penyakit
  7. Parasit/Kutu
  8. Racun
  9. Sebab-sebab lain. - ada beberapa perkara lain yang menyebabkan kucing anda muntah seperti sembelit dan lain-lain penyakit. Ini akan dihuraikan lagi di dalam Penyakit-Penyakit Kucing.



Nota: Pastikan kucing anda tidak diberi makan sekiranya ingin membawanya berjalan jauh (travel). Kerana kucing akan muntah di dalam kereta anda sekiranya diberi makan sejurus sebelum anda ingin memulakan perjalanan jauh. Ini dipanggil "Motion Sickness". Perlu diingatkan bahawa kucing sebenarnya amat tidak suka "travel" dengan kata lain, ikut tuannya pergi bercuti atau pulang ke kampung. Kucing tidak suka rumahnya atau keadaan sekeliling tempat tinggalnya berubah dari kebiasaannya. Melainkan perkara ini sudah diajar atau dididik oleh owner(tuan kucing semenjak dari kecil).

TAJUK-TAJUK BERKAITAN

Wednesday, May 4, 2011

KUCING SUSAH HENDAK MAKAN

Susah Hendak Makan
Hilang selera makan dan susah hendak makan ialah suatu perkara yang berbeza. Kucing susah hendak makan bukan kerana kurang selera makan tetapi sebaliknya kucing yang susah hendak makan makanannya kerana kucing mengalami sakit di bahagian mulut, dalam mulut,ulser di mulut, gigi, gusi, lidah, lelangit, kerongkong serta sakit organ-organ dalamannya yang lain. Penyakit Gigi dan Gusi contohnya sering berlaku pada kucing tua. Jika perkara ini berlaku silalah rujuk pada veterinar.
Kiranya kucing anda tidak makan makanan yang dihidangkan kepadanya hendaklah anda mengenal pasti sama ada kucing anda hilang selera makan atau susah hendak makan.

TIPS KATA-KATA
Periksalah mulut kucing anda dengan memastikan gigi dan gusi kucing anda cukup bersih dan sihat. Ulser dimulut ialah tanda paling nampak dan ketara. Mulut kucing berbau juga tanda kucing anda ada masalah mulut dan penyakit dalaman lain.

TAJUK-TAJUK BERKAITAN

Kucing Hilang Selera Makan

Hilang Selera Makan
Makanan merupakan perkara paling penting dalam hidup seekor kucing. Semua kucing yang sihat mempunyai selera makan yang tinggi. Kiranya kucing anda menunjukkan sikap tidak mahu makan atau pun makan terlalu sikit dari selalu, anda perlu mengambil tindakan segera dengan megenal pasti apa masalah yang sebenarnya. Kiranya anda terus membawa kucing anda ke klinik, mungkin doktor akan mengatakan kucing anda mengalami Anorexia. Anorexia ialah istilah yang digunakan oleh para veterinari untuk sejenis penyakit yang dialami kucing, yang mengakibatkan kucing anda hilang selera makan. Kucing sihat, hilang selera makan ada beberapa sebab:
  1. Jemu dengan makanan yang sama setiap hari. (cuba pelbagaikan perisa dan sumber bahan utamanya, seperti ayam, ikan dan pelbagai jenis daging).
  2. Rindu makanan kegemarannya.(ayam rebus contohnya, setiap kucing mempunyai makanan kegemaran tersendiri)
  3. Makan yang diberi sudah rosak.(lemau, basi dan sebagainya)
  4. Ada kucing lain yang menganggunya makan(persaingan antara kucing lain).
  5. Kurang perisa makanan. (kekurangan rasa masin boleh membuat kucing kurang minat dengan makanan tersebut).
  6. Kucing anda telah keluar memburu dan memakan hasil buruannya. (Naluri kehidupan liarnya sudah bermula - ini perlu dielakkan).
  7. Tidak mengemari kedudukan tempat makannya. (cuba ubah lokasi bekas makannya).
  8. Musim mengawan/ingin mengawan/tidak dapat mengawan kerana dikurung.(hanya pada kucing yang belum dikasikan/di kembiri)
Sekiranya semua faktor diatas sudah diambil kira, kemungkinan besar kucing anda sedang mengalami kesakitan atau diserang penyakit. Jika ini berlaku segera bawa kucing anda ke veterinar yang terdekat. Kucing yang sakit, hilang selera makan kerana beberapa sebab:
  1. Kucing demam.
  2. Kucing sukar bernafas.(tidak dapat menghidu makanan).
  3. Dehidrasi(Minum air lebih dari selalu, boleh mengurangkan selera makan kucing)
  4. Mengalami masalah atau penyakit di dalam mulut.
  5. Mengalami masalah penyakit hati dan penyakit buah pinggang yang serius.

TAJUK-TAJUK BERKAITAN
KESIHATAN KUCING SECARA UMUM
SELERA MAKAN KUCING
Ku sangka ikan yang di tunggu, rupa-rupanya ayam yang diidamkan
KUCING SUSAH HENDAK MAKAN

Monday, May 2, 2011

ULSER DI MULUT KUCING (CAT MOUTH ULCERS)




Ulser di mulut kucing berlaku pada semua peringkat umur kucing. Ulser di mulut kucing selalunya adalah tanda mulut kucing anda dijangkiti kuman atau virus atau petanda kucing anda diserang penyakit didalam mulut kucing. Penyakit di dalam mulut kucing yang biasa berlaku(common) ialah "Periodontal disease" atau "Tooth Problem"(masalah gigi). Penyakit Gingivitis Kucing(Feline Gingivitis) juga dikenal sebagai salah satu "Periodontal disease". Masalah gigi kucing merujuk kepada masalah gusi bengkak, gusi berdarah dan segala masalah berkaitan gigi dan gusi kucing. 



Selain itu, masalah Ulser di mulut kucing juga boleh disebabkan masalah Ginjal dan beberapa masalah lain yang jarang-jarang berlaku. Perkara ini akan dihuraikan didalam PENYAKIT-PENYAKIT KUCING. Periodontal disease juga akan menyebabkan kucing anda mengalami masalah penyakit hati, jantung dan buah pinggang. Kucing yang terkena Periodontal disease akan mengalami :-
  • Ulser di mulut - Menyebabkan kucing susah hendak makan
  • Sensitif dengan sentuhan manusia. - Tidak suka dipegang dan dibelai seperti selalu.
  • Kurang upaya untuk makan - Seoalah-olah tidak berselera dengan makanan.
  • Kesakitan dan Ketidakselesaan.
  • Gusi Berdarah.
  • Gusi kemerahan dan bengkak.



Seperti manusia juga, apabila kita terkena ulser dimulut kita akan mengalami susah hendak makan, tidak dapat menikmati kesedapan makanan malahan ia juga membuatkan mulut kita tidak selesa hendak berbual. Begitu juga kucing apabila ada ulser dimulutnya, mood(perasaan) dan selera makan kucing anda terganggu.


Penyakit didalam mulut kucing selalunya adalah disebabkan gigi atau mulut yang kotor. Ini memudahkan untuk bakteria bertapak. Petuanya yang kita boleh dapat disini ialah pastikan mulut atau gigi kucing anda bersih dan sekiranya kucing anda sedang memgalami ulser di mulut, bawalah ke veterinar untuk memberi rawatan mulut dan gigi pada kucing anda. Insyaallah selepas menerima rawatan itu ulser dimulut kucing anda akan pulih.

TAJUK-TAJUK YANG BERKAITAN

Wednesday, April 27, 2011

KUCING BERSIN (CAT SNEEZE)




Bersin bagi kucing adalah merupakan satu perbuatan yang diluar kawalan diri kucing itu sendiri. Ianya disebabkan tindakan riflek otot atau rongga-rongga tertentu terhadap sesuatu bahan yang melalui saluran pernafasan. Bersin merupakan perkara biasa kepada kucing. Kucing Bersin disebabkan banyak perkara dan faktor. Susah untuk kita tentukan penyebab khusus dan penyebab utama kepada masalah Kucing Bersin. Kucing Bersin bukanlah petanda khusus kucing anda diserang penyakit, namun bersin yang berterusan keatas kucing anda perlulah dirisaukan dan segera dibawa ke vet untuk dikenalpasti penyebabnya. Satu perkara yang anda perlu ambil berat ialah "berapa kali kekerapan kucing anda bersin?". Sekiranya ianya sekali-sekala itu menunjukkan satu perkara normal namun jika sebaliknya yang berlaku maka segeralah ke vet yang terdekat. Kucing yang berhidung penyet seperti 'persian cat' lebih mudah bersin. Hari ini teman cuba menyenaraikan beberapa sebab atau faktor kenapa kucing bersin, antaranya :-
  • Alahan-Tindakbalas badan kucing terhadap alahan.(Allergic Reactions)
  • Jangkitan bakteria,kuman atau virus di saluran pernafasan kucing.(Respiratory Infections).
  • Sesuatu Bahan tersumbat di laluan nasal kucing atau saluran pernafasannya.
  • Kegatalan atau gangguan di saluran pernafasan kucing.- cth: asap rokok,debu,habuk dan bau wangian manusia.
  • Masalah Gigi dan Gusi.
  • Ketumbuhan dilaluan nasal kucing(Tumor/Cancer).
  • Jangkitan Fungus.
  • Pasir Najis.



TIPS KATA-KATA
Cuba luangkan masa sekurang-kurangnya 20 minit sehari untuk duduk bersama sambil membelai dan memeriksa kesihatan dan kebersihan kucing anda. Pastikan mata, telinga dan hidung dibersihkan setiap hari. Dari pengalaman teman selalunya dan kebiasaannya kucing anda kerap bersin adalah kerana alahan dan gangguan kegatalan dilaluan nasal kucing anda. Cuba hindarkan semua agen alahan dan kotoran dari debu dan habuk serta jauhkan kucing anda dari asap rokok. Persekitaran yang bersih, cara hidup yang sihat boleh menjamin keselamatan kucing anda dan anda sekeluarga. Rumah bersih, kucing sihat, keluarga sihat dan hidup akan bahagia. 

TAJUK-TAJUK BERKAITAN

Tuesday, April 26, 2011

Kucing Bengkak di Perut(Cat Swollen Abdomen)

Perut Kucing membengkak disebabkan banyak perkara. Bagi pendapat teman perut kucing tidak akan membengkak tanpa sebab. Selain dari membengkak disebabkan mengandung setiap kejadian perut kucing anda membengkak perlulah diberi perhatian serius dan sebaik-baiknya, segeralah bawa kucing anda ke veterinar untuk dilakukan pemeriksaan dengan terperinci. Tiada alasan ataupun sebarang sebab yang normal yang menyebabkan perut kucing anda membengkak. Selalunya kes perut kucing membengkak adalah tanda kucing anda mengalami masalah kesihatan.

Disini teman cuba menyenaraikan beberapa sebab perut kucing anda membengkak, antaranya :-
  • Pengumpulan cecair didalam usus kerana tersumbat disebabkan ada ketumbuhan(tumor).
  • Pengumpulan cecair didalam usus kerana saluran usus beberapa kali dijangkiti parasit(cacing/kutu).
  • Feline Infectious Peritonitis (FIP). - (Teman akan huraikan didalam tajuk penyakit-penyakit kucing).
  • Pembesaran organ - organ dalaman membengkak.
  • Barah(Cancer).

Ingat dan pastikan kucing anda sentiasa berada dipersekitaran yang bersih dan pastikan juga anda meluangkan sekurang-kurangnya 20minit sehari untuk bersama kucing anda sambil membelai dan memerhatikan kiranya ada perubahan terhadap fizikal dan karektor kucing anda. Kebanyakan penyakit diperut kucing disebabkan parasit dan virus. Penyakit yang biasa menjangkiti di perut kucing dipanggil FIP(Feline Infectious Peritonitis). Penyakit ini adalah disebabkan virus corona. Kucing yang diserang penyakit ini selalunya akan membawa maut. Anak kucing dan kucing tua amat berpotensi untuk diserang oleh penyakit FIP ini.

TAJUK-TAJUK BERKAITAN

Friday, April 22, 2011

Perubahan Perilaku Kucing(Cat Suddenly Change Behavior)

Kucing adalah haiwan yang hidup dengan rutin harian yang sama setiap hari. Ia merupakan haiwan yang selesa dengan perkara yang kebiasaan dilakukannya. Kucing tidak suka dengan perubahan rutin hariannya dan tidak suka diubah tabiatnya. Kucing adalah haiwan yang mempunyai karektor dan personaliti yang berlainan diantara satu sama lain terutama yang berlainan baka. Salah satu contoh; kucing tidak suka "travel" dengan kata lain, ikut tuan nya pergi bercuti atau pulang kekampung. Kucing tidak suka rumahnya atau keadaan sekeliling tempat tinggalnya berubah dari kebiasaannya. Melainkan perkara ini sudah diajar atau dididik oleh owner(tuan kucing semenjak dari kecil. Perubahan rutin dan perubahan keatas kebiasaan kucing anda boleh membuatkan kucing anda 'bad mood','tension',kemurungan,hilang selera makan dan kurang selesa, ini yang dipanggil "Perubahan Perilaku Kucing". Dibawah teman sertakan beberapa faktor atau sebab kucing anda mengalami Perubahan Perilaku, diantaranya :-
  • Tekanan(Stress)
  • Kesakitan(Pain/Illness)
  • Masalah Gigi(Tooth Problem)
  • Penuaan(Aging)
  • Musim Mengawan(Mating Season)
  • Mengandung(Pregnancy)
  • Hipoitiroidisme(Hypothyroidism)
  • Kurang Pendengaran dan Penglihatan(Loss of Vision or Hearing)
  • Kecederaan(Injuries)
  • Selepas Dikasi/Disunatkan(After Neutering)


Nota : Setiap kucing baru yang ingin dibawa masuk kerumah yang sudah sedia ada kucing lain, pastikan anda mengasingkan dulu kucing baru dan kucing lama. Adakan sesi perkenalan sesama mereka dahulu sebelum dilepaskan bersama. Ini untuk mengelakkan dari kucing anda bergaduh dan mengelakkan "stress" kepada kucing lama dan baru. Masalah ini juga boleh mengundang kepada perubahan perilaku kucing anda.

TAJUK-TAJUK BERKAITAN

Wednesday, April 20, 2011

KUCING SEMBELIT (CAT CONSTIPATION)

Sembelit ialah "pengumpulan najis yang luarbiasa" berlaku didalam usus besar yang menyebabkan masalah tidak dapat atau sukar membuang buang air besar, dengan kata lain nya "susah buang air besar atau najis keras". Kebanyakkan kucing akan membuang air besar sekali ataupun dua kali sehari. Manakala sebahagian lagi kucing akan membuang air besar dua hari sekali atau tiga hari sekali. Kucing-kucing inilah lebih cenderung untuk mengalami masalah sembelit. Selain itu sembelit kerap berlaku ketas kucing tua.


Najis yang tersimpan atau terkumpul lebih dari 24jam didalam usus menyebabkan ia menjadi terlalu kering dan keras. Ini kerana salah satu tugas usus besar ialah menyerap air yang berlebihan didalam bahan kumuhan(najis). Apabila kucing anda mengalami sembelit ia akan merasai kesakitan yang sangat sewaktu membuang air besar. Ini boleh menyebabkan dihujung saluran najis kucing anda akan mengalami luka dan najis akan berserta darah. Sembelit di dalam istilah perubatan terbahagi kepada dua iaitu sembelit ringan dan sembelit berat. Bagi teman kedua-dua jenis sembelit ini perlu diberi perhatian oleh setiap pemilik kucing.  Kucing akan mengalami sembelit disebabkan banyak perkara, antaranya adalah seperti berikut :-
  1. Kekurangan atau berlebihan kandungan zat fiber didalam makanannya.(kebiasaan yang berlaku apabila kucing sembelit)
  2. Dehidrasi.
  3. Usus tersumbat.
  4. Usus cedera.
  5. Makanan.
  6. Rasa cemas dan Tekanan(stress).
  7. Tidak menyukai kedudukan kotak atau bekas tempat pembuangan najisnya.(bagi kucing yang cerewet)
  8. Kekurangan jumlah pasir didalam bekas pembuangan najisnya.(bagi kucing yang cerewet)
  9. Najis lama tidak dikutip dari bekas pembuangan najisnya.(bagi kucing yang cerewet)
  10. Obesiti.
  11. Mengalami sakit buah pinggang.
  12. Mengalami penyakit saraf dan otot.
  13. Pengaruh dadah atau ubat-ubatan.
  14. Kurang senaman atau kurang aktif kerana kawasan atau bilik yang sempit.
  15. Hipoitiroidisme(Hypothyroidism)
  16. Mengalami masalah tulang punggung.


Tanda Kucing Mengalami Sembelit
  • Meneran dengan kuat dan lama sehingga kucing anda menjerit kesakitan sewaktu kucing anda membuang air besar/najis.
  • Sedikit cirit(najis yang cair) tanpa ada najis yang keras.
  • Membuang air besar diluar kotak najis.
  • Kelesuan(Lethargy).
  • Muntah(Vomiting).
  • Kemurungan(Depression).
  • Hilang selera makan.
  • Penurunan berat badan.
Nota: Sekiranya kucing anda mengalami tanda-tanda sembelit yang tidak berkurangan silalah bawa kucing anda ke veterinar untuk menerima rawatan.

TAJUK-TAJUK BERKAITAN
KESIHATAN KUCING SECARA UMUM
Mengenal Tanda-Tanda Kucing Sedang Sakit - Part 1
Mengenal Tanda-Tanda Kucing Sedang Sakit - Part 2
Mengenal Tanda-Tanda Kucing Sedang Sakit - Part 3

Sunday, April 17, 2011

Kucing Batuk(Cat Coughing)




Kucing batuk disebabkan banyak perkara, antaranya ialah jangkitan bakteria, gumpalan bulu dan alahan. Selain itu kucing juga akan batuk sekiranya diserang penyakit. Batuk merupakan satu tindakan riflek anggota badan sekiranya ada gangguan di saluran nasal pernafasan seekor kucing. Kucing yang batuk berlarutan akan disusuli dengan demam dan hidung yang berair. Penyakit yang biasa menyerang kucing yang boleh menyebabkan kucing anda batuk ialah penyakit asthma kucing/bronkitis. Sekiranya kucing anda berterusan batuk sehingga melewati 24jam, nasihat teman segeralah bawa kucing anda ke veterinar yang terdekat. Disini, teman cuba menyenaraikan beberapa punca kucing anda batuk, antaranya :-
  1. Gumpalan rambut/bulu (Hairballs)
  2. Kesejukan
  3. Selsema
  4. Astma yang kronik
  5. Jangkitan Bakteria di saluran nasal
  6. Alahan
  7. Cacing Jantung/Heartworm (jarang berlaku keatas kucing, simptom sama dengan astma)
  8. Penyakit jantung/jangkitan di jantung
  9. Kanser paru-paru
  10. Parasit/Cacing



Mengikut pengalaman teman kucing yang batuk tidak secara berlarutan dan tidak berterusan sehingga 24 jam tidaklah perlu dirisaukan, terutama bagi kucing yang berbulu panjang mungkin banyak gumpalan bulu(hairballs) yang boleh menyebabkan kucing anda batuk. Kiranya masalah ini yang berlaku (hairballs), ianya adalah satu perkara normal kepada kucing anda.

TAJUK-TAJUK YANG BERKAITAN

CATNIP(ARAK KUCING/DADAH KUCING/UBAT PENENANG) PART 2

Bersambung dari tajuk CATNIP(ARAK KUCING/DADAH KUCING/UBAT PENENANG), hari ini teman nak sambung sedikit lagi topik ini.


BABLU

Teman sendiri ada menggunakan CATNIP kepada kucing otai teman yang bernama BABLU. Teman memberikan seminggu sekali sahaja dan tidak pernah lebih dari itu, ini adalah mengelakkan dari penggunaan yang berlebihan boleh membuat kucing anda ketagih. Selain itu teman juga menggunakannya untuk menghilangkan rasa stress Bablu. Selalu nya kucing akan stress dan mabuk apabila berjalan jauh menaiki kereta(travel). Selepas 30 minit sampai ke destinasi, barulah teman memberikan pada Bablu untuk menghiburkannya dan menenangkannya.


BABLU



CATNIP juga merupakan "Viagra" dan "Tongkat Ali" kepada kucing. Selepas menghidu CATNIP nafsu seks kucing mudah terangsang. Jadi sesuailah digunakan CATNIP ini bagi kucing-kucing yang sedang 'HEAT' untuk merangsang tenaga batinnya dan memberikan kepuasan yang maksimum kepada kucing anda. CATNIP boleh didapati dikebanyakkan kedai 'pet' dalam bentuk seperti gamabar dibawah :-


Kegemaran BABLU


 






NOTA
Pastikan anda tidak memberi CATNIP secara berlebihan atau berlebihan dos. Cukuplah sekadar sekali seminggu untuk mengelakkan ianya lali(immune) dan ketagih(addict). CATNIP juga digunakan dan terkenal didalam kategori herba-herba perubatan tradisional kepada manusia. Namun begitu ianya tidaklah meluas seperti penggunaan pokok galak kucing(Acalypha Indica) didalam perubatan tradisional manusia.

TAJUK-TAJUK BERKAITAN
KESIHATAN KUCING SECARA UMUM



Saturday, April 16, 2011

Jauhi Sifat Kejam(inhuman/cruelty)



Dari paparan video ini, moga-moga kita semua dapat menjauhkan diri dari sifat,jiwa dan kerohanian yang kejam sebegini. Semoga si pengkid ini mendapat balasan sewajarnya dari Allah. Disini ingin teman berkongsi sedikit pengajaran yang dipetik dari tajuk Kucing dan Islam, penjarannya adalah seperti berikut :-

1. Pupuklah kasih sayang agar kita dapat saling menyayangi sesama makhluk ciptaan tuhan.

2. Tiada halangan dan sekatan agama untuk berjasa pada kucing, malahan ia disukai oleh nabi dan rasul kita   Rasulullah Sallahu’ ’Alaihi Wassalam, sehingga baginda memberi gelaran kepada Abd al-Rahman ibn Sakhr Al-Azdi sebagai "Abu Hurairah" yang beerti "Bapa anak-anak kucing" kerana sikapnya yang sangat menyayangi kucing.

3. Besarnya dosa orang-orang yang menyeksa binatang dan menyakitinya dengan memukul dan membunuh. Wanita itu masuk neraka kerana dia menjadi sebab kematian seekor kucing.(Kucing dan Islam)

4. Boleh mengurung binatang seperti kucing, burung, dan sebagainya, jika diberi makan dan minum. Jika tidak mampu atau tidak mahu, maka hendakah melepaskannya dan membiarkannya pergi di bumi Allah yang luas untuk mencari rezekinya sendiri..(Kucing dan Islam)

5. Di Akhirat, manusia diadzab sesuai dengan perbuatannya di dunia. Wanita ini diserang oleh seekor kucing di Neraka dengan mencakari tubuhnya. (Kucing dan Islam)

TIPS KATA-KATA
Pupuklah kasih sayang agar kita dapat saling menyayangi sesama makhluk ciptaan tuhan. Dengan kasih sayang juga kita akan mengukuhkan lagi hubungan sesama manusia.


Dengan paparan kali ini teman harap dapat memberikan pandangan positif kepada pembaca terhadap haiwan  yang bernama kucing, jumpa lagi di tajuk yang lain, sekian.

Tuesday, April 12, 2011

Merawat Kucing Yang Terkena Jangkitan Kutu(KUTU KUCING)

Untuk Merawat Kucing Anda yang Terkena Kutu:
1. Mulanya mandikan kucing anda menggunakan sabun/syampu anti kutu(anti flea bath).
Ada banyak dipasaran dan berbagai jenis. Gambar disebelah adalah salah satu contoh syampu anti kutu kucing. Hal ini hendaklah dilakukan dengan memandikan kucing anda didalam tab mandi atau bilik air kecil dengan air yang banyak dan sabun. Tetapi berhati-hati bahawa sabun dan air tidak boleh terkena mata kucing anda. Boleh dikatakan 90-95% kucing bencikan air. Inikan pula dimandikan, ini akan menyukarkan anda kerana anda akan di kungfu oleh kucing anda disebabkan kaedah ini. Tetapi dapat diatasi dengan memandikan kucing anda secara berhati-hati dan lembut. Nantikan huraian Cara Mandian Kucing dibawah tajuk Kucing dan Spa tak lama lagi.

2. Ada juga kaedah lain untuk memberikan kucing mandian kering(dry bath). Dengan kaedah ini anda memerlukan sejenis syampu kucing khas, syampu yang tidak melibatkan penggunaan air. Anda perlu dapatkan nasihat veterinar atau pakar sebelum menggunakan kaedah ini.

Troy
Frontline
3. Pastikan anda membeli semburan(spray) kutu kucing dan kawalan kutu. Perkara ini perlu untuk mengelakkan kutu kembali semula kepada kucing anda. Frontline untuk kutu badan dan Troy Ear Canker untuk kutu telinga adalah kegemaran peribadi teman.

4. Dua hari selepas menggunakan semburan Frontline, pastikan anda menyikat kucing anda menggunakan sikat yang betul untuk menanggalkan kutu-kutu yang mati. Periksa bulu kucing anda setiap beberapa hari untuk memastikan para sang kutu hilang. Tetapi jika anda melihat masih ada kutu, kuarantin haiwan kesayangan anda, dan mulakan seluruh proses dari mula semula.
TAJUK-TAJUK BERKAITAN


Monday, April 11, 2011

TIPS MENYINGKIRKAN KUTU KUCING(KUTU KUCING)

Tips Menyingkirkan Kutu Kucing
Untuk menghilangkan kutu pada kucing anda, pertama anda harus menyedari bahawa kucing anda mempunyai kutu. Untuk memeriksa, anda boleh memisahkan bahagian-bahagian kecil bulu kucing anda dan melihat di celah-celah diantara bulu kucing anda. Jika anda tidak melihat kutu, anda harus menyedari bahawa mereka boleh menyembunyikan diri dengan sangat baik. Teman selalu menggunakan sehelai kain basah putih bersih dan menekapkan pada kucing anda, anda akan dapat melihat apakah mereka mempunyai kutu ataupun tidak, dengan adanya tompokkan bintik-bintik berwarna coklat gelap diatas kain basah putih itu tadi. Kutu meninggalkan bintik-bintik coklat gelap di belakang badan mereka, yang sebenarnya itu adalah ekskresi(perkumuhan) kutu. Ekskresi(perkumuhan) kutu adalah berwarna coklat atau merah kecoklatan bekas dari menghisap darah dari haiwan kesayangan anda. Selain itu anda boleh terus membawa kucing anda ke veterinar yang terdekat atau kedai haiwan kesayangan yang ada memberi servis rawatan.
Jika anda yakin kucing anda mempunyai kutu, maka anda perlulah merawat rumah anda seperti berikut:

1. Yang terpenting, jika anda baru saja mempastikan ada kutu pada kucing anda, maka kuarantin kucing anda ke salah satu bilik.
2. Vakum seluruh rumah untuk menyingkirkan segala kutu dan kutu di lantai atau perabot.

3. Pastikan anda mencuci semua pakaian anda kerana sang kutu ini amat suka menyembunyikan diri di pakaian manusia.
4. Selanjutnya, cuci dan bersihkan serta vakum kesemua karpet anda. Sebaik-baiknya jemurkan semua karpet anda pada sinaran cahaya matahari secara terus selama sekurangnya 5-7jam.

5. Anda juga boleh menggunakan semburan kutu kawalan untuk menyingkirkan segala kutu dan kutu pada kucing anda. Anda boleh menyembur rumah dengan semburan kutu untuk membunuh kutu yang melekat dan bergayut di dinding atau mana-mana bahagian rumah. Pastikan anda mencuci dan memriksa semua bilik tidur dengan bersih dan semua almari, peti dan sebagainya dengan teliti.


TAJUK-TAJUK BERKAITAN