Sunday, February 20, 2011

TIDUR-TIDUR KUCING


Sebelum teman sajikan seperti topik yang dijanjikan, teman ingin bercerita sikit kaitan kucing dan tidur. Disamping itu teman berharap dengan sedikit ilmu yang ada dapatlah menjawab persoalan tidur kucing yang menjadi tanda tanya kepada seorang sahabat teman. Beliau ingin mengetahui apakah yang di maksudkan dengan tidur-tidur kucing( cat napping/catnap).

Tidur bagi teman ialah suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada semua makhluk ciptaannya yang memerlukannya. Tidur adalah suatu keadaan rehat badan yang semulajadi kepada mamalia dan burung. Ia juga dilihat berlaku keatas kebanyakkan reptilia, amfibia dan ikan. Tidur juga boleh didefinasikan sebagai berada didalam keadaan tidak sedar dengan mata terpejam kerana berehat.

Teman sering diaju soalan-soalan seperti "Saya tengok kucing saya ni kuat tidur la bang!  Memang kucing kuat tidur ke bang?" Dengan senyuman teman menjawab, "kuat tak kuat la, kucing tidur dua kali ganda lebih lama dari manusia iaitu dalam 16jam sehari" soalan yang ditanya terjawab dan penyoal agak terkejut dan gembira kerana dapat penjelasan yang ringkas dan jelas. 

Kepada semua pembaca dan peminat kucing, kalau anda selalu meluangkan masa bersama kucing atau pun tidak anda akan perasan yang kucing seolah-olah boleh tidur dimana-mana sahaja dan pada bila-bila masa yang dia mahu. Ini berlaku kerana kucing adalah satu-satunya mamalia yang memerlukan tidur yang banyak berbanding dengan mamalia yang lain.
  
Tiada siapa pun tahu dengan pasti kenapa kucing memerlukan tidur yang banyak. Namun begitu para ahli sains membuat satu kesimpulan, Kucing memerlukan tidur yang banyak adalah kerana:

Faktor Genetik.
Mengikut genetik nenek-moyang kucing peliharaan kita hari ini, mereka adalah seekor haiwan pemangsa iaitu hidup untuk memburu dan memburu untuk makan. Sewaktu kucing memburu dia memerlukan banyak tenaga, jadi dengan tidur yang cukup dapat memastikan tenaga nya cukup dan banyak sel-sel fizikal tubuhnya dapat dibaiki sewaktu tidur. Namun begitu memburu untuk makan sudah tidak relevan dengan kucing peliharaan kita hari ini yang mana makan dan minum nya diberi oleh manusia. Walaupun begitu kucing tetap seekor pemangsa yang sentiasa memastikan keaadan fizikal tubuhnya sentiasa bersedia untuk bertarung. Disebabkan pengaruh faktor genetik ini kucing tetap memerlukan tidur yang lama.

Faktor Karnivor
Karnivor adalah haiwan yang memakan daging. Daging akan membuatkan kucing mudah mengantuk dan tidur. Perkara ini terbukti kepada manusia. Anda semua boleh mencuba dengan memakan sekeping stik daging yang besar dan cukup buat anda kekenyangan akan mencepatkan anda rasa mengantuk dan tidur selepas makan. Tidak hairanlah kita melihat kucing kita akan tersandar dan lena selepas kita memberinya makan.


Kucing seperti kita manusia(mamalia) memerlukan tidur untuk merehatkan fikiran dan tubuh badan. Untuk lebih tepat ingin teman jelaskan disini kucing memerlukan sebanyak 13-18jam tidur sehari. Kucing mempunyai dua jenis tidur iaitu tidur ringan(light sleep) dan tidur lena(deep sleep). Kucing memerlukan sekurangnya 1/3 daripada jumlah tidurnya untuk tidur lena(deep sleep) setiap hari. Ada yang bertanya pada teman "kucing tidur ada mimpi ke?" jawab teman "sudah tentu kucing mempunyai mimpi, malahan kucing mesti bermimpi setiap hari." Kenapa kucing perlu mimpi setiap hari?
Didalam kajian sains mengatakan kucing mempelajari dan menganalisa tentang kehidupannya melalui mimpi dan naluri haiwannya. Kucing akan mengalami mimpi sewaktu di dalam tidur lena(deep sleep).  Jadi disini, disebabkan fakta kajian sains mengatakan kucing memerlukan tidur lena (deep sleep)sekurang-kurang nya 1/3 dari jumlah tidur nya satu hari. Dengan fakta ini teman mengatakan kucing senantiasa menuntut ilmu kehidupan sepanjang hayatnya.

TIPS KATA-KATA -  Sebagai manusia kita janganlah berhenti mencari ilmu hingga akhit hayat. 

Kucing dewasa memerlukan tidur 13-18jam sehari dan kucing yang baru lahir(newborn) memerlukan 23-24jam sehari. Dari penjelasan diatas teman mengatakan kucing menghabiskan 2/3 masa hidupnya dengan tidur. Secara langsung tidur merupakan perkara paling digemari kucing selain dari memburu untuk makan. Nasihat dari teman, sentiasa lah memerhatikan gelagat tidur dan jumlah tidur kucing anda seharian, kerana kucing yang tidur terlalu lama dari kebiasaannya adalah tanda kucing anda dalam kesakitan atau serangan penyakit. Jumlah tidur kucing juga berbeza-beza setiap hari mengikut kekenyangannya(makanan yang cukup menyelerakannya), keselamatannya(selamat dari ancaman), Tiada gangguan ransangan seks, umur(kucing tua dan anak kucing tidur lebih lama) dan suhu disekelilingnya(musim).

Tidur Ringan/Tidur-tidur kucing (light sleep/catnap/catnapping)

Tidur ringan adalah tidur yang sekejap, ini berlaku  pada peringkat pertama di dalam proses kucing untuk memulakan tidur lena. Tidur ringan ini boleh berlaku keatas kucing pada bila-bila masa dia inginkan. Pada waktu tidur ringan ini tekanan darah kucing berada pada paras normal dan suhu badannya sedikit turun manakala otot-ototnya sedikit tegang. Kenapa otot-otot nya tegang sedangkan tidur ialah merehatkan otot? Ini berlaku kerana tidur ringan sering berlaku diwaktu siang dan diwaktu kucing sedang membuat rondaan di kawasan jajahannya. Untuk kucing peliharaan kita didalam rumah hari ini, ianya sering berlaku sewaktu kucing kita sedang berehat sambil bersantai dirumah. Pada waktu begini  kucing sentiasa berjaga-jaga dari segala ancaman. Oleh itu sewaktu tidur ringan semua deria kucing selain dari mata bertindak sekali ganda lebih peka berbanding waktu jaganya. Terutama deria hidu dan misai nya amat sensitf sewaktu kucing sedang tidur. 

Tidur Lena (Deep Sleep)

Kucing memerlukan tidur lena sekurang-kurangnya 4 - 6 jam tidur lena sehari dan ini tidak lah berlaku sekaligus dan kucing akan mengalami mimpi sekurang-kurangnya 2 jam sehari. Mengikut beberapa pendapat ahli sains, kucing mempelajari ilmu kehidupannya adalah melalui dua kaedah iaitu naluri kehaiwanan dan mimpi. Pada waktu tidur lena suhu badan kucing akan meningkat, tekanan darah akan menurun dan seluruh otot nya akan relax. Namun deria hidu, rasa perubahan haba(yang boleh dikesan dengan misainya) dan deria pendengarannya meningkat 70% berbanding waktu jaganya. Tidak hairanlah walaupun sedang nyenyak tidur dengan hanya bunyi burung yang berkicau diluar rumah boleh membangunkan kucing anda dengan segera. Kucing juga akan mengeluarkan bunyi dengkur sewaktu berada didalam tidur lena. 

NOTA: Di dalam pengkajian sains, manusia yang mengamalkan tidur sekejap(catnap) akan dapat menyegarkan badan dan otak. Tidur sekejap untuk manusia sesuai pada kadar 15minit-25minit. Tidak boleh kurang dari 15minit dan tidak boleh melebihi 30minit. Ini adalah kerana kiranya tidur itu kurang atau melebihi akan memberikan kesan sebaliknya. Tidur sekejap amat baik untuk merehat dan menyegarkan otak anda. Walau bagaimanapun sila lah rujuk dan minta khidmat nasihat dari doktor yang bertauliah. 



Tuesday, February 15, 2011

KESIHATAN KUCING SECARA UMUM

kucing sedang membersihkan diri.
kucing yang sihat sentiasa
membersihkan diri secara teratur  
Sebagai seorang pemilik (owner) kucing yang bertanggungjawab akan menjamin yang kucing peliharaannya berada dalam keaadan yang sihat dan cargas. Dengan menyediakan diet yang seimbang tempat yang bersih(hygiene) dan immunisasi yang sesuai dan teratur dapat menjamin kesihatan kucing peliharaan anda. Dengan mengenali peribadi, perangai dan perilaku kucing anda, pemilik(owner) adalah yang paling sesuai dapat segera mengetahui setiap perubahan yang berlaku pada kucing anda. Sewaktu sesi menyikat bulu(grooming) kucing anda, anda boleh meyelidiki atau mengesan sebarang perubahan yang berlaku. Namun setiap perubahan perilaku yang mendadak atau kelakuan aneh perlu diselidiki.


kucing sakit mengeluarkan membran
 atau selaput putih pada mata
Kucing menderita diserang berbagai penyakit seperti cancer, buah pinggang, sakit jantung dan lain-lain lagi. Namun ada juga penyakit kucing yang disebar oleh manusia ke kucing dan sebaliknya. Penyakit paling serius yang boleh dijangkiti oleh kucing ialah rabies. Kurap adalah penyakit cendawan kulit yang boleh menular kepada manusia. Ada juga beberapa jenis tungau dan kutu kucing yang boleh berpindah ke tubuh manusia(Nota: Kutu kucing lebih memilih kucing sebgai host nya berbanding manusia). Bakteria dari kucing juga menjangkiti luka terbuka pada manusia. gigitan dan cakaran kucing juga perlu diawasi. Sekiranya terkena perlu dibersihkan bersama antiseptik dan dibalut supaya tidak dijangkiti bakteria-bakteria lain.


Sejenis parasit protozoa bernama Toxoplasma gondii, mungkin merupakan antara penyakit yang paling berbahaya dan membimbangkan. di setengah negara, 90peratus manusia membawa parasit ini dan lebih 50peratus dibawa kucing. Parasit ini boleh berpindah kepada manusia dan sebaliknya. Pemindahan dari kucing ke manusia ialah dari  najis buangan kucing anda. Ia mungkin hanya membawa simptom ringan keatas kucing anda tidak bahaya pada manusia normal. Walaupun begitu ia boleh menjangkiti dan merbahaya kepada bayi didalam kandungan rahim ibunya dan ibu-ibu mengandung. Oleh itu bagi ibu mengandung teman nasihatkan berikan tugas mencuci tempat najis kucing anda kepada ahli keluarga yang lain. Selain itu manusia dan kucing boleh juga terkena parasit ini melalui daging yang kurang masak(undercooked) dan daging mentah.

Tanda-Tanda Kucing Sedang Kesakitan
Kucing yang tidak sihat, kesakitan dan diserang penyakit akan mengalami beberapa tanda yang boleh dikenal pasti oleh manusia. Disini teman cuba menyenaraikan beberapa tips perubahan tingkahlaku kucing sewaktu sedang sakit atau diserang penyakit.

Kepada pembaca sekalian teman akan menyambung tajuk ini dan menceritakan dengan lebih mendalam di dalam mengenal tanda-tanda kucing anda sedang dalam kesakitan ataupun diserang penyakit.

TIPS KATA-KATA 
Sikat dan membelai kucing setiap hari dapat membantu anda mengesan sebarang perubahan yang berlaku pada kucing anda dengan kadar yang cepat. Jadi pastikan sekurang-kurangnya  luangkan masa sekadar 15-20minit sehari bersama kucing dapat meningkatkan tahap kesihatan kedua belah pihak.



TAJUK-TAJUK YANG BERKAITAN
Tanda-Tanda Kucing Sakit
Mengenal tanda-tanda kucing sedang sakit - part 1
Mengenal tanda-tanda kucing sedang sakit - part 2
Mengenal tanda-tanda kucing sedang sakit - part 3